Mega 3 Housing Facebook

Beli Rumah atau Pergi Melancong?


Beli Rumah atau Pergi Melancong?



Deskripsi:

Rumah merupakan institusi asas bagi memenuhi kelengkapan kehidupan setiap insan. Namun begitu, perkara ini semakin hangat diperkatakan terutamanya bagi golongan muda. Rata-rata mereka masih tidak memiliki kediaman sendiri. 

Malahan, mereka juga dilaporkan tidak mempunyai simpanan tetap dan lebih cenderung  untuk melayari minat dan hobi masing-masing seperti memiliki telefon pintar terkini, fesyen dan yang paling menjadi pilihan golongan muda ini adalah melancong, atau lebih dikenali sebagai ‘backpacking travel’. 

Jadi persoalannya adalah beli rumah atau melancong dulu? Kedua-dua pilihan tersebut bakal membawa kita perjalanan yang berbeza namun ia bakal memberi kebaikan untuk diri sendiri. 

Membeli rumah bukanlah seperti membeli tiket penerbangan. Ia memerlukan komitmen jangka panjang dan pengurusan kewangan yang bijak. Dan ia pastinya membuahkan hasil di masa akan datang. Rata-rata kediaman yang mahu dibeli memerlukan 10% bayaran muka. Bagi anak muda, tabiat menyimpan ini merupakan cabaran besar untuk mereka. Namun dengan pendedahan dan ilmu yang ditimba, disiplin menyimpan pasti timbul dalam menggapai azam untuk memiliki kediaman di usia muda. 

Sudah pasti, harga hartanah yang dibeli pasti akan meningkat. Bergantung pada kawasan dan pembangunan sekitar, hal ini pasti menguntungkan sama ada untuk tujuan pelaburan mahupun kediaman. Yang penting, aliran wang keluar masuk haruslah stabil  agar pembiayaan rumah tersebut tidak terbengkalai. Kebanyakan mereka menyewakan kediaman tersebut untuk aliran wang yang lebih terjamin.

Benar kata orang, jauh berjalan luas pemandangan. Usia muda merupakan waktu di mana kita mencuba dan melakukan apa jua yang diinginkan agar sisa hidup tidak dihabiskan dengan penyesalan. Penuh tenaga dan semangat, melancong kini seperti pilihan utama untuk golongan muda bagi menjalani kehidupan. Rata-rata mereka lebih selesa untuk menyewa dan melaburkan wang untuk pengalaman perjalanan melihat dunia. 

Namun, diri akan berasa lebih positif dan bersemangat setiap kali selesai perjalanan. Dan ini boleh memberi impak ketara ketika menjalani kehidupan di masa akan datang.  

Perlu diketahui bahawa jangka masa melancong ini lebih singkat dan ringkas berbanding membeli rumah. Anda boleh melihat dunia berbulan lamanya, namun komitmen pembiayaan rumah lebih lama dan ia memerlukan disiplin yang tinggi. 

Walaupun mereka memilih untuk tidak membeli rumah, namun pengalaman perjalanan semestinya suatu yang mereka tidak akan tukarkan untuk apa jua sekalipun. 

Dengan perancangan kewangan dan aliran wang yang stabil, apa kita kita cuba untuk capai kedua-duanya sekali? Asingkan wang untuk pembiayaan rumah dan tabung melancong. Belajar untuk disiplinkan diri agar apa yang diimpikan seimbang bagi memenuhi sama ada keperluan dan kehendak. 

Sebagai anak muda, semestinya kita mahu lakukan yang terbaik dalam kehidupan. Merentasi umur muda hanya sekali dan peluang tersebut tidak harus disiakan. Teruskan usaha untuk penuhkan ilmu di dada, asalkan anda tidak mengabaikan nasib masa depan dan orang sekeliling anda. Miliki kediaman dan lihatlah dunia. Dengan penuh keyakinan dan ilmu, siapa yang nak halang anda?