Mega 3 Housing Facebook

Skim Cepat Kaya Memang Best, Tapi…


Skim Cepat Kaya Memang Best, Tapi…



Sesi AA - Episod #2: Skim Cepat Kaya Memang Best, Tapi… oleh Aiman Azlan

Deskripsi:
Dalam entri sebelum ini, kita bincang tentang bagaimana untuk menjaga duit pada tahap yang paling asas dan mudah. Kali ini, kita ingin bincang tentang bagaimana untuk mengembangkan duit pula.

Sebelum itu, kita perlu sedar bahawa ada sesetengah antara kita yang mungkin rasa tidak selesa dengan perbincangan ini. Mereka mungkin fikir bahawa perbincangan tentang mengembangkan duit ini dirasakan seperti duniawi.

Oleh itu, kita akan mulakan entri kali ini dengan persoalan ini: Mengapa kita ingin kembangkan duit?

Islam pada dasarnya tidak menghalang kita untuk menjadi kaya ataupun meletakkan had berapa banyak duit yang kita boleh miliki. Bukalah mana-mana kitab agama sekalipun, kita tidak akan jumpa ajaran seperti itu.

Sebaliknya, Islam mengajar kita bagaimana untuk mengembangkan duit dengan cara yang halal, bermoral, dan mengikut undang-undang. Kita patut ingat, mengembangkan duit juga boleh dikira sebagai salah satu bentuk ibadah.

Persoalannya sekarang pula, bagaimana untuk kita pastikan cara kita mengembangkan duit itu menjadi ibadah? Pendek ceritanya, kita kena mencari cara yang diberkati Allah kerana itulah akar umbi ibadah.

Jika Allah tidak suka, bagaimana kita ingin panggil ia ibadah?

Maknanya, perkara-perkara yang tidak halal, tidak bermoral, dan tidak mengikut undang-undang seperti menyertai skim cepat kaya patut kita jauhi sejauh-jauhnya. Malangnya, skim cepat kaya sudah menjadi topik biasa dalam masyarakat kita.

Setiap tahun kita disajikan dengan banyak kisah mangsa-mangsa skim cepat kaya. Sebagai contoh, sebanyak 899 kes skim cepat kaya dicatat pada tahun 2016 dan statistik itu merangkumi negeri Johor sahaja. Bayangkan satu Malaysia pula bagaimana.

Tidak dinafikan bahawa taktik-taktik marketing skim cepat kaya ini sememangnya mengiurkan dan best untuk didengari. Antara slogan-slogan yang kerap kali digunapakai dalam skim cepat kaya adalah:

“Anda ingin kaya dengan cepat? Mula hari ini, tahun depan boleh jadi jutawan!” “Senang giler nak buat duit weh! Goyang kaki saja!” “Jika anda join kami, anda pasti untung! Kami jamin 100%!” “Jika anda join kami, anda tidak akan rugi! Tiada risiko!”

Alangkah indahnya jika kita boleh mengembangkan duit kita dengan cepat, senang, jaminan, dan tiada risiko. Tetapi, hakikatnya adalah mana-mana kaedah mengembang duit yang halal, bermoral, dan mengikut undang-undang itu tidak akan cepat, senang, dijamin, dan bebas risiko.

Mengapa? Kerana inilah lumrah kehidupan. Dalam kehidupan ini, kita perlu bersabar, hadapi cabaran, hadapi kesukaran, hadapi kerugian, dan hadapi risiko untuk mencapai apa yang kita mahukan dengan cara yang diberkati.

Usah bersedih, kerana terdapat banyak alternatif lain selain skim cepat kaya yang lebih berbaloi dan selamat untuk kita. Antara alternatif terbaik adalah pelaburan. Mungkin kita pernah dengar tentang pelaburan, tetapi mungkin juga kita tidak didedahkan dengan intipatinya sehinggakan kita tidak tahu bahawa ia adalah pilihan yang lebih baik untuk kita.

Ataupun, mungkin kita rasa agak gementar dengan pelaburan kerana kita takut kerugian, sedangkan pelaburan merupakan kaedah yang lebih selamat jika dibandingkan dengan skim cepat kaya.

Jadi, atas dasar ketakutan tidak rasional terhadap pelaburan dan taktik-taktik skim cepat kaya yang mengiurkan, maka kita mudah menjadi mangsa.

Pelaburan merupakan topik yang amat besar untuk dibincangkan secara adil dalam entri yang ringkas seperti ini. Tetapi, entri ini boleh memberikan pendedahan ringkas tentangnya. Ia bukanlah perkara baru kerana ada banyak jenis pelaburan yang sudahpun kita ketahui seperti KWSP, PRS, amanah saham (unit trust), bursa saham (stock market), dan takaful.

Itu hanyalah sebahagian daripada pilihan-pilihan pelaburan yang ada di luar sana untuk kita. Mungkin ada yang tertanya-tanya: Mana satu yang terbaik untuk saya? Soalan itu bukanlah tujuan entri ini ditulis. Kerja saya sebagai penulis adalah untuk mendedahkan sahaja.

Kerja kita pula, setiap antara kita, adalah keluar mencari ilmu untuk mendalami dan memahami setiap satu pilihan pelaburan yang ada. Daripada itu, bolehlah kita membuat keputusan yang bijak tentang apakah pilihan pelaburan terbaik buat kita.

Ingat, selalulah membuat keputusan berdasarkan ilmu dan maklumat yang sahih. Jangan asyik terikut-ikut dengan orang sekeliling secara membuta tuli. Jadilah lebih bertanggungjawab dengan duit dalam poket anda itu.

Dalam masa yang sama, selalulah rujuk kepada pihak Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk mengenalpasti sama ada mana-mana syarikat ataupun produk yang anda minati itu berdaftar ataupun tidak.

Sekiranya tidak berdaftar, maka carilah pilihan yang lain.

Pelaburan yang terbaik untuk kita adalah ilmu. Mungkin kata-kata itu agak cliche, tetapi ia benar dan dengan ilmulah kita boleh mengelak diri kita daripada menjadi mangsa mudah skim cepat kaya. Dalam pelaburan ilmu kita itu, mungkin kita perlu belanja sedikit duit, sedikit masa, dan sedikit tenaga untuk mendapatkan keuntungan ilmu yang kita inginkan.

Antara badan-badan yang saya sarankan sendiri adalah K-Fiqh dan Hijrah Wealth Managers. Mereka adalah antara badan-badan bertanggungjawab yang menyediakan peluang-peluang untuk masyarakat menimba ilmu tentang bagaimana untuk uruskan duit dan kembangkan duit dengan cara yang halal, bermoral, dan mengikut undang-undang.

Pokok pangkalnya, jika kita ingin melihat duit kita berkembang, maka ilmu di dada harus berkembang dahulu.