Mega 3 Housing Facebook

Risiko Membeli Lot Lidi


Risiko Membeli Lot Lidi

Risiko-membeli-lot-lidi-bahagian-1-1.jpg
Risiko-membeli-lot-lidi-bahagian-2.jpg
Risiko-membeli-lot-lidi-bahagian-3.jpg
Sumber: Pejabat Daerah Dan Tanah Kerian - https://www.facebook.com/pdtkerian/posts/1174197672689516:0

Deskripsi:

RISIKO MEMBELI LOT LIDI
Kegiatan menjual lot lidi yang semakin berleluasa berpunca dari masalah harga rumah yang semakin mahal, tiada ilmu berkaitan tanah dan keinginan untuk membina rumah di atas tanah sendiri. Tinjauan mendapati kegiatan ini sering tertumpu di kawasan pinggir bandar, yang mana sasaran pembelinya terdiri dari penduduk-penduduk kampung, pesara atau keluarga muda. Pentadbir-Pentadbir Tanah ingin memaklumkan bahawa terdapat banyak risiko yang akan dihadapi kepada pembeli-pembeli lot lidi. Anda boleh membaca tulisan-tulisan di internet tentang risiko pembelian lot lidi ini dan kebanyakan hujah-hujah yang dikemukakan adalah benar belaka. Risiko ini mungkin tidak berlaku pada masa sekarang, tetapi percayalah ianya akan berbangkit pada masa hadapan. Secara ringkasnya, risiko-risiko yang perlu dihadapi adalah seperti berikut :-
1. NAMA TIADA DALAM GERAN
Dokumen yang menunjukkan anda ialah seorang pemilik di dalam lot lidi hanyalah dengan melalui Surat Pemegang Amanah sahaja. Hanya seorang yang akan menjadi Pemegang Amanah bagi kesemua pemilik-pemilik lot lidi dan nama Pemegang Amanah itu sahaja yang akan didaftarkan di dalam geran. Sebagai contoh jika ada 12 orang pembeli lot lidi di dalam satu kawasan, nama Pemegang Amanah akan tertera di dalam geran sebagai mewakili 11 pembeli yang lain. Pemegang Amanah ini boleh jadi terdiri daripada salah seorang pembeli lot lidi atau boleh jadi juga pemilik asal tanah berkenaan. Seperti yang pernah disebutkan di dalam artikel sebelum ini, geran adalah punca kuasa yang sangat penting di dalam apa-apa urusan tanah. Jika nama tiada di dalam geran, mereka tidak layak untuk berurusan apa-apa mengenai tanah berkenaan walaupun diikat dengan Surat Pemegang Amanah.
2. SUKAR UNTUK BERJUAL BELI
Sekiranya salah seorang pembeli lot lidi ingin menjual semula lotnya kepada orang lain, tiada prosedur undang-undang yang sah boleh dilaksanakan untuk urusan jual beli berkenaan melainkan mereka terpaksa membuat Surat Pemegang Amanah baru yang memerlukan Pemegang Amanah sendiri untuk melaksanakannya. Sekiranya Pemegang Amanah itu enggan untuk menukar nama atas apa-apa sebab (perbalahan, tiada masa, malas, nyanyuk, sudah meninggal dunia atau sebagainya) maka proses pertukaran nama itu tidak boleh berlaku.
3. KESALAHAN LANGGAR SYARAT TANAH
Lot lidi lazimnya ialah lot yang bersyarat pertanian. Membina rumah di atas lot bersyarat pertanian adalah kesalahan serius seperti yang termaktub di dalam Seksyen 125 Kanun Tanah Negara. Anda akan dikenakan denda atau tanah anda boleh dirampas.
4. TIADA PAMPASAN JIKA ADA PENGAMBILAN
Jika Kerajaan berhasrat untuk membuat pengambilan di atas tanah berkenaan kerana sebab-sebab tertentu, pembeli lot tidak mempunyai apa-apa hak untuk menuntut pampasan daripada Kerajaan. Hanya Pemegang Amanah yang akan dipanggil untuk sesi pendengaran malah wang pampasan akan diberikan kepada Pemegang Amanah sahaja. Pembeli-pembeli lot perlu berurusan dengan Pemegang Amanah untuk membahagi-bahagikan wang pampasan.
5. TANAH TIDAK BOLEH DIWARISKAN JIKA ADA KEMATIAN
Oleh kerana nama pemilik-pemilik lot lidi tidak didaftarkan di dalam geran, waris-waris si mati tidak boleh memulakan prosedur pesaka kerana secara teorinya tanah berkenaan adalah milik Pemegang Amanah.
6. PEMEGANG AMANAH MENINGGAL DUNIA
Ini adalah risiko terbesar yang perlu dihadapi oleh pemilik-pemilik lot lidi. Jika Pemegang Amanah meninggal dunia, pembeli-pembeli lot lidi bolehlah diibaratkan seperti layang-layang terputus tali. Memang benar mereka boleh melantik Pemegang Amanah yang baru, tetapi prosedurnya bukanlah semudah seperti yang disangka. Anda akan berhadapan dengan ketidaktentuan, prosedur pesaka yang rumit, masa yang lama, kos yang tinggi dan kemungkinan berlaku perbalahan yang berpanjangan.
 
JANGAN TERPEDAYA DENGAN KATA-KATA PENJUAL LOT LIDI SEPERTI:-
1. Akan membuat tukar syarat atas tanah itu selepas semua lot habis dijual.
2. Akan mengemukakan pelan pembangunan kepada pihak berkuasa.
3. Akan pecahkan lot secara betul menggunakan juruukur berlesen pada masa akan datang.
4. Sempadan lot lidi akan ditanam dengan batu sempadan.
5. Nama akan ditukar secara automatik jika Pemegang Amanah meninggal dunia.
6. Tidak akan ada masalah kerana ada Surat Pemegang Amanah.
7. Lot lidi adalah sah dari segi undang-undang.
 
Banyak lagi risiko yang tidak dinyatakan di sini. Justeru itu, Pentadbir-Pentadbir Tanah menasihatkan supaya mengelakkan diri dari terlibat dengan pembelian lot lidi. Biarlah membeli tanah atau rumah yang mahal sedikit asalkan mengikut lunas undang-undang kerana ia akan membantu sekiranya terdapat masalah-masalah pada masa akan datang. Adalah dikhuatiri kediaman idaman anda yang sepatutnya memberi keselesaan kepada keluarga dan boleh diwariskan kepada anak-anak akan berakhir dengan kerugian yang besar, perbalahan keluarga dan penyesalan di kemudian hari.
KENYATAAN PENTING : Penerangan di atas adalah sangat ringkas bagi memudahkan kefahaman kepada rakyat yang tidak mengetahui prosedur undang-undang tanah. Terdapat prosedur-prosedur teknikal yang tidak dinyatakan dan anda dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan dari Pejabat Tanah berkaitan.
Kata kunci :-
Lot Lidi : Sebidang tanah yang mempunyai geran yang sah, tetapi kemudiannya dipecah-pecahkan lot kecil untuk dijual semula dengan tujuan untuk membina rumah.
Pemegang Amanah : Salah seorang yang melantik diri sendiri atau dilantik oleh pembeli-pembeli lot lidi untuk memegang amanah bagi semua pembeli dan hanya namanya seorang yang didaftarkan di dalam geran.
Surat Pemegang Amanah : Surat berupa perjanjian di antara pembeli-pembeli dengan Pemegang Amanah yang menyatakan bahawa Pemegang Amanah akan memegang hak di atas tanah berkenaan. Ia juga dipanggil Surat Ikatan Amanah.
Pesaka : Prosedur pembahagian tanah kepada waris selepas berlakunya kematian pemilik tanah.
Sumber: Pejabat Daerah Dan Tanah Kerian - https://www.facebook.com/pdtkerian/posts/1174197672689516:0