Mega 3 Housing Facebook

Jangan Cari Pasangan Yang Banyak Duit Saja


Jangan Cari Pasangan Yang Banyak Duit Saja

 
Memperkenalkan SESI AA #1 oleh Aiman Azlan ! Jom tonton tips mencari PASANGAN (Apa?!) dan juga pengurusan wang.

Deskripsi:

Jangan Cari Pasangan Yang Banyak Duit Saja oleh Aiman Azlan

Bila cakap pasal kahwin, ramai orang muda (dan juga orang tua) akan fokus kepada berapa banyak duit yang ada dalam bank. Sebenarnya, tidak salahpun berfikir sebegitu.

Apabila kita hendak membina sebuah keluarga, sememangnya kita patut risau tentang bagaimana untuk menyara keluarga. Jadi jika kita ingin masuk meminang dan bakal mertua kita tanya tentang berapa banyak duit kita ada, jangan pula kita cepat melenting dan cepat memetik ayat Quran di mana Allah akan mencukupkan dan memudahkan mereka yang miskin tetapi ingin berkahwin.

Kita sememangnya percaya bahawa Allah akan cukupkan dan mudahkan. Tetapi, dalam masa yang sama, kita juga percaya bahawa Allah hanya akan tolong mereka yang berusaha, bukannya mereka yang asyik menadah tangan meminta macam-macam tetapi hanya goyang kaki.

Hakikatnya, memang kita perlukan duit untuk menyara keluarga. Tetapi, pemikiran kita perlu seimbang. Jangan pula kita jadikan berapa banyak duit dalam bank sebagai kayu ukur utama untuk melegakan hati kita tentang kestabilan kewangan bakal pasangan kita itu. Jangan kita fikir bahawa asalkan duit dia banyak, maka kewangan dia stabil. Tidak semestinya! Kestabilan kewangan seseorang itu tidak bergantung kepada berapa banyak duit dia ada.

Sebagai contoh, di Kanada pada suatu ketika, terdapat seorang wanita yang memenangi loteri sebanyak $10 juta. Wah, kayanya! Boleh ambil jadi calon, betul tak? Eh, sabar dulu! Dalam kes wanita tersebut, beliau telah menghabiskan duit sebanyak $10 juta dalam masa 9 tahun sahaja. 9 TAHUN?!

Pengajarannya di sini adalah kestabilan kewangan seseorang itu tidak bermakna dia banyak duit semata-mata. Kalau banyak duit tetapi duit asyik bocor saja, tiada guna juga kan? Kestabilan kewangan seseorang itu bergantung kepada sama ada dia pandai jaga duit ataupun tidak. Maknanya, dia tak kedekut dan juga tidak boros. Dia stabil dan bertanggungjawab dari segi perbelanjaan.

Jadi, jika ingin mencari seorang pasangan, carilah pasangan yang reti jaga duit - tak kiralah sama ada dia banyak duit ataupun tidak. Dalam masa yang sama, anda juga perlu tahu juga skil jaga duit! Jika anda sendiri tidak tahu bagaimana ingin menjaga duit dengan baik, di sini saya ingin kongsikan tips mudah sebagai permulaan kepada perjalanan anda untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab dengan duit.

Sebelum itu, perlu ingat bahawa sebaik sahaja duit masuk ke dalam poket ataupun bank anda, anda perlu segera aplikasikan tips ini. Duit tersebut boleh datang daripada mana-mana sahaja punca yang halal seperti duit gaji, duit upah, duit poket daripada mak ayah, duit biasiswa, duit pinjaman PTPTN, duit hadiah daripada peraduan, dan lain-lain.

Asalkan duit masuk, tips ini perlu ada di hujung jari. Tips ini hanya ada 4 langkah mudah sahaja:

Langkah #1: Ambil Kertas dan Pen Sekiranya anda ingin canggih sedikit, anda boleh sahaja gunakan smartphone, tablet, laptop, atau apa-apa sahaja gajet pilihan anda. Saya suka kertas dan pen, jiwa old school. Kalau guna gajet, khuatir jadi distraction pula nanti. Atas kertas tersebut, tulis bulan apa yang anda ingin uruskan duit anda. Kita uruskan duit ikut bulan dahulu, untuk memudahkan. Apabila sudah advance, bolehlah buat pengurusan duit setiap 3 bulan, 6 bulan, atau setahun.

Langkah #2: Simpan 10% Ya, sebelum kita fikir untuk berbelanja, kita perlu simpan dahulu. Tolak minimum 10% daripada duit yang kita ada dan simpan ia dalam akaun yang kita tidak akan sentuh seperti akaun Tabung Haji. Dalam masa yang sama, simpan ia dalam akaun yang boleh mengembangkan duit kita, sekurang-kurangnya melebihi kadar inflasi duit. Sebagai contoh, Tabung Haji boleh memberikan kita mengembangkan duit kita sebanyak 6% secara purata melalui dividen tahunannya.

Langkah #3: Senaraikan Perbelanjaan Wajib Sekarang, kita senaraikan dari mula hingga akhir segala perbelanjaan keperluan kita untuk bulan tersebut. Perbelanjaan ini wajib kita tunaikan kerana ianya untuk keperluan hidup kita seperti sewa rumah, bil air, bil elektrik, bil telefon, barangan dapur, dan takaful. Sebarang hutang yang kita ada juga termasuk dalam perbelanjaan wajib seperti ansuran rumah/ kereta dan PTPTN. Apabila duit kita masuk, maka senarai perbelanjaan inilah yang menjadi prioriti kita pada bulan tersebut, sebelum kita boleh belanja untuk perkara-perkara lain. Langkah

#4: Lihat Baki Selepas selesai perbelanjaan yang wajib, maka kita lihatlah baki yang ada. Itulah duit poket kita untuk kita belanja perkara-perkara yang sukai seperti menonton wayang, membeli gajet baru, pergi melancong, dan sebagainya.

Pokok pangkalnya, langsaikan yang wajib dahulu. Selepas itu, bolehlah kita berseronok.

Itulah tips mudah untuk menjaga duit dengan baik sebagai permulaan perjalanan anda untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab dengan duit. Sudah semestinya, ada banyak lagi tips lain di luar sana yang mungkin lebih baik daripada apa yang saya kongsikan di sini.

Tetapi, inilah tips yang saya sendiri amalkan dan saya lihat kesan positif amalan tersebut dalam kehidupan saya sendiri. Hidup pun jadi kurang stress dan lebih teratur, Alhamdulillah. Syukur.

Jadi, selepas ini jika duit masih lagi bocor, janganlah kita jadikan takdir sebagai alasan. Allah sudah berikan rezeki, tapi kita yang tidak bertanggungjawab untuk uruskan dengan baik.