Mega 3 Housing Facebook

60 Tahun Merdeka!


60 Tahun Merdeka!


Sesi AA - Episod #3: 60 Tahun Merdeka! oleh Aiman Azlan

Deskripsi:


Dalam Sesi AA kali ini, saya ingin menulis entri istimewa sempena kemerdekaan negara kita Malaysia yang ke-60. Ya, pejam celik pejam celik, negara kita sudah 60 tahun merdeka. Tahun ini, kita punyai tema yang tersendiri iaitu “Negaraku: Sehati Sejiwa”.

Kali pertama saya tahu tentang tema ini, perkara pertama yang timbul dalam fikiran saya adalah tentang perpaduan. Apabila kita bincang tentang perpaduan, mungkin ada sesetengah antara kita yang fikir perpaduan bermaksud kita sentiasa bersetuju, kita suka benda yang sama, dan kita tidak ada perbezaan.

Jika fikir secara logik, apakah ada sekumpulan manusia normal seperti itu?

Sudah tentu tidak! Perpaduan tidak bermaksud kita tiada perbezaan. Perbezaan pendapat adalah perkara normal dalam mana-mana masyarakat yang merdeka dan praktis kebebasan bersuara. Tetapi, bebas bersuara tidak bermakna bebas menghina.

Salah satu cara untuk tahu sama ada kita mengamalkan kebebasan bersuara atau kebebasan menghina adalah dengan melihat sama ada kita amalkan prinsip asas dalam negara kita iaitu kesopanan dan kesusilaan. Ia merupakan prinsip kelima dalam Rukun Negara.

Untuk mengekalkan perpaduan dalam masyarakat kita, kita perlu mula dengan mengamalkan kesopanan dan kesusilaan apabila kita berbeza pendapat. Lebih-lebih lagi di zaman media sosial di mana kita bebas untuk menghina orang lain tanpa kita perlu bersemuka dengannya.

Ini menyebabkan kita rasakan diri kita tidak kelihatan dan tidak dikenali (anonymous) lalu menjadikan kita lupa diri. Tetapi, kita tidak perlu tunggu orang lain ada barulah kita berlaku sopan.

Kesopanan dan kesusilaan adalah satu prinsip yang patut sebati dengan diri kita, tidak kira sama ada kita berseorangan (private) ataupun bersama orang lain (public).

Apabila kita berbeza pendapat, kita patut fokus kepada melawan hujah dengan hujah dan bukannya fokus kepada serangan peribadi - itu tidak sesuai dengan karakter seorang dewasa yang matang.

Sungguhpun begitu, saya optimistik bahawa rakyat Malaysia masih mempunyai semangat perpaduan dan sehati sejiwa dalam berinteraksi antara satu sama lain sambil menyantuni perbezaan yang pasti ada.

Dengan itu, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-60 kepada semua rakyat Malaysia, di mana jua anda berada.