Bagi mereka yang tidak tahu, Telok Panglima Garang (TPG) mempunyai pelbagai tarikan untuk dikunjungi. Kami sempat meluangkan satu hari berjalan-jalan di sana. Nak tahu apa yang anda boleh kunjungi di sini? Hari ini jom ikut kami terokai pesona TPG yang bakal mengagumkan anda! Kami memulakan pengembaraan ke lokasi pertama iaitu Mozid Racing, trek go-kart dan pocket bike. Terletak di Jalan Sempadan, Sijangkang, anda pasti tidak mahu ketinggalan lokasi ini. Tempat ini diasaskan oleh Mohd Yazid Bin Jamil yang sukakan kelajuan dan cabaran pada Januari 2016 dan dibuka bermula 10 pagi hingga 7 malam.
Di Mozid Racing, anda boleh menyewa dan memandu go-kart di trek sepanjang 500 meter dengan RM35 selama 10 minit. Sarung kepala dan helmet akan diberikan untuk tujuan keselamatan. Anda juga boleh menyewa penggunaan trek sekiranya memiliki go-kart atau pocket bike anda sendiri dengan hanya RM20 sehari.
Pengalaman memandu go-kart di sini semestinya sukar untuk dilupakan. Kecil-kecil cili padi, itu gambaran kami untuk go-kart yang kami pandu. Laju dan berkuasa! Malahan jika ini kali pertama anda, tak perlu risau. Hanya tekan minyak dan rasakan kuasanya! Seperti motocross tadi, trek di sini juga mencabar dan menguji kepakaran memandu anda. Dengan trek dikelilingi keindahan hijau dan angin sepoi-sepoi bahasa, semestinya aktiviti ini boleh anda lakukan bersama teman dan keluarga. Jika anda mahukan kudapan, anda boleh singgah ke di Jom Santai De’ Serindit yang berhampiran dengan Mozid Racing. Lokasi Mozid Racing : (GPS) 2.949747, 101.430283 Alamat : Jalan Sempadan Sijangkang, 42500 Klang Nombor hubungan : 017-999 9083 Namun pengembaraan kami masih tidak tamat di sini. Nazrin, selaku penjaga Mozid Racing bekongsi lokasi rahsia Sijangkang yang segelintir saja tahu. Tuah kami mungkin hari ini. Sekitar 1KM dari Mozid Racing, ada trek laluan Mountain Bike (MTB) untuk penggemar sukan MTB. Walaupun tiada basikal pada masa itu, namun kami tidak mahu ketinggalan menyaksikan trek tersebut. Ia bukanlah trek atau laluan rasmi untuk penggemar sukan MTB. Trek ini dikatakan popular di kalangan penduduk kampung yang sukakan cabaran MTB. Trek sepanjang 3KM ini kelihatan berbatu, sempit dan mencabar.
Ia juga dikelilingi hutan sawit dan sungai dan laluan ini bersambung ke Taman Paya Bakau Sijangkang. Pastikan keselamatan anda terjaga jika mahu mencuba. Nasib baik kami tidak bawa MTB, kalau tidak kami pasti redah dan cuba. Hari lain mungkin?
Lokasi Trek MTB : (GPS) 2.949814, 101.426729
Kami teruskan hari kami dengan menuju ke lokasi seterusnya iaitu Rumah Peninggalan Hj. Sidek yang terletak di Banting. Bagi mereka yang mengikuti sejarah sukan negara, tempat ini pasti membuatkan anda teruja. Rumah ini merupakan tempat lahirnya wira-wira badminton negara. Mereka lebih dikenali sebagai Anak-Anak Sidek – Misbun, Razif, Jailani, Rahman, Rashid.
Kecekalan Allahyarham Hj Sidek melatih anak-anak dalam sukan badminton dapat dilihat apabila mereka memenangi Piala Thomas dan All England suatu ketika dulu. Sebuah tugu dibina di hadapan rumah tersebut bagi menghargai dan mengenangi mereka. Anda juga boleh bergambar bagi mengenang jasa mereka terhadap sukan badminton negara.
Lokasi Rumah Peninggalan Hj. Sidek: (GPS) 2.798413, 101.491805
Lokasi seterusnya? Pantai Morib! Salah satu tarikan terkenal di Selangor dan Kuala Lumpur. Lokasi ini hanya 15KM dari Pekan Banting dan 1 jam 30 minit dari Kuala Lumpur. Pantai ini juga telah dibangunkan oleh kerajaan negeri untuk menjadikan ia lokasi menarik dan pelancongan. Pantai sepanjang 3KM dikelilingi resort dan hotel juga ada untuk dikunjungi bagi merehatkan diri dari kesibukan kota.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti bermain layang-layang, bersiar-siar, berpiknik dan relaks di sini sambil menikmati tiupan angin pantai.. Ketika air laut surut, anda juga boleh berjalan kaki ke tengah pantai sekitar 400m. Anda boleh bersiar-siar atau mengutip ketam kecil dan cangkerang laut. Namun semasa kami kunjungan kami, air pasang dan ombak kelihatan kuat menjadikan ia tidak selamat untuk kami turun.
Pantai Morib tidak sesuai untuk mandi dan hanya sesuai untuk lokasi riadah keluarga. Pelbagai kemudahan seperti medan selera, tandas, surau, taman permainan, kedai cenderamata dan gerai jualan untuk manfaat pengunjung. Kami berasa sangat tenang ketika berada di sini. Sungguh nyaman!
Lokasi Pantai Morib : (GPS) 2.749528, 101.442591
Kami juga sempat ke Pantai Kelanang yang hanya 11KM dari Pantai Morib. Di sini kami dapat menikmati pemandangan yang mengagumkan, dengan pantai yang landai, pasir putih, angin pantai dan paya bakau yang indah. Pantai ini juga dikelilingi pokok yang meredupkan kawasan sekitar, menjadikan ia sesuai untuk berpiknik dan berkhemah.
Pantai Kelanang tidaklah terlalu sesak seperti Pantai Morib. Kemudahan seperti tandas, surau, ruang parkir dan gerai jualan tersedia untuk kemudahan pengunjung. Sama seperti Pantai Morib, anda dinasihatkan untuk tidak mandi di pantai tersebut. Semasa kami bersiar-siar di sini, kelihatan ikan tembakul dan monyet liar berkeliaran di sini. Kami sempat beramah mesra dengan monyet tersebut dengan kacang yang dibeli. Sudah pasti kamilah pengunjung kegemaran mereka pada hari tersebut. Pantai Kelanang merupakan pantai yang ringkas dan sederhana. Boleh singgah sekiranya anda ke Pantai Morib dan rehatkan diri anda di sini.
Lokasi Pantai Kelanang: (GPS) 2.789353, 101.412150
Kemudian, kami juga sempat singgah ke salah satu lokasi popular tempatan, Bukit Jugra, Banting. Kami memutuskan untuk berjalan kaki hingga ke puncak. Aktiviti ini juga sesuai untuk seisi keluarga. Ketika kami sampai di puncak, kami disajikan dengan pemandangan yang sangat memukau! Puncak Bukit Jugra berhadapan dengan Selat Melaka, di mana keindahan hijau bergabung dengan persisiran pantai yang hanya dapat dilihat dari puncak.
Tiada kata yang mampu kami gambarkan melalui pengalaman kami. Sempat juga kami bergambar dan menatap pemandangan senja setelah seharian berjalan. Di puncak ini juga ada rumah api yang teguh berdiri di sini. Kami difahamkan bahawa rumah api tersebut tidak lagi berfungsi dan dikekalkan untuk tujuan sejarah. Boleh juga cuba ‘paragliding’, cuma waktu tidak membenarkan. Pasti kami akan cuba jika datang lagi ke sini.
Lokasi Bukit Jugra : (GPS) 2.836115, 101.417475
Kami mengakhiri perjalanan hari ini dengan menginap di TubeStay, yang terletak hanya di sekitar Bukit Jugra. Apa yang menarik di sini ialah mereka bukanlah sekadar tempat tidur atau hostel biasa. Membawa terma ‘Glamour Camping’ tempat ini menyediakan tempat tidur dengan ‘tube’! Kami rasakan idea tersebut sangat menarik dan menyegarkan. Setelah seharian berjalan, apa salahnya cuba semalam di sini kan?
Lokasi TubeStay : Kaki Bukit Jugra (2.834234, 101.414281) Laman Web : http://tubestay.my/
Seharian di TPG semestinya memberikan kami 1001 pengalaman yang menarik. Walaupun banyak tempat yang kami kunjungi, namun kami masih tidak puas menerokai keindahan TPG. Masih banyak lokasi-lokasi yang tidak sempat kami kunjungi. Untuk kunjungan seterusnya mungkin? Kami sudah pun berjalan seharian di TPG. Anda pula bagaimana? Dah siap sedia untuk pengembaraan seterusnya? Satu hari di TPG bakal mengejutkan anda. Baik bersama teman atau seisi keluarga, mulakan rancangan anda hari ini juga!
MAKLUMATLANJUT
Tidak kira kali pertama atau pun pelawat tetap, sila memberitahukan nama dan emel anda kepada kami di bawah. untuk memberi pengalaman laman ini yang lebih baik.
Juru khidmat kami akan menghubungi anda dalam masa yang terdekat.